Setelah beberapa lama kemudian, dengan
tidak disangka – sangka satu musibah besar telah menimpa kami berturut – turut.
Pertama ialah kematian sekonyong – konyong dari Engku Haji Jaafar yang
dermawan. Ia seorang yang sangat dicintai oleh penduduk negeri, kerana
ketinggian budinya dan kepandaiannya dalam pergaulan; tidak ada satu pun
perbuatan umum di sana yang tak dicampuri oleh Engku Haji Jaafar.
Kematiannya membawa perubahan yang bukan
sedikit kepada perhubungan kami dan rumahtangga Zainab. Dia yang telah membuka
pintu yang luas kepada saya memasuki rumahnya di zaman hidupnya, sekarang pintu
itu mahu tak mahu telah tertutup. Sebagai seorang lain, pertemuan kami tidak
berleluasa seperti dulu lagi. Ah,… zaman semasa anak – anak, dia telah pergi
dari kalangan kami dan tak akan kembali lagi.
Belum beberapa lama setelah budiman itu
menutup matanya,datang pula musibah baru kepada saya. Ibu saya yang tercinta,
yang telah membawa saya menyeberangi hidup bertahun – tahun telah ditimpa
sakit, sakit yang selama ini telah melemahkan badannya, iaitu penyakit dada.
Kerapkali Zainab dan ibunya datang melihat ibuku, dan duduk dekat kepalanya,
sedang saya duduk menjaga dengan diam dan sabar. Kerapkali juga Mak Asiah
berkata;
"Ah luka lama yang belum sembuh sekarang
datang pula yang baru. Belum lama saya menjagai suami saya sakit, sekarang saya
mesti melihat sahabat saya yang menanggung sakit. Mudah – mudahan ia lekas
sembuh."
Waktu itu Zainab diam dalam menungnya, di
hadapan ibu yang sedang sakit, kerapkali ia melihat kepada saya dengan muka
yang tenang, dan agaknya bersertaan dengan nasib yang ditanggungnya sendiri.
Tetapi sepatah kata pun tak keluar daripada mulutnya dan saya pun melihat pula,
sehingga kedua mata kami bertemu dan dari dalam ruang – ruang mata yang hitam, seakan
– akan terbayang berulang – ulang beberapa perkataan yang penting, meskipun
lidah tiada sanggup menunjukkan ertinya.
Mak Asiah pergi bersama Zainab, di meja
mereka letakkan sepinggan bubur yang telah didinginkan, ditutup dengan sebuah
piring kecil untuk ibu, kerana dia tak kuat makan nasi. Ketika ia akan pergi,
ia berkata:
"Jagalah ia baik – baik, jika ia
bangun kelak, berilah bubur ini barang sesenduk pun."
"Baiklah mak" –kata saya.
Pintu mereka tutupkan baik – baik dan
mereka pun pergi. Setelah beberapa saat kemudian ibuku mengembangkan matanya;
di dalamnya hanya kelihatan tinggal cahayaa dari kekerasan hati, padahal kekuatan
telah habis sama sekali.
Dicarinya saya dengan matanya yang telah
kabur, tangannya yang telah tinggal jangat pembalut tulang itu mencapai – capai
ke kiri ke kanan mencari tangan saya, dengan segera saya berikan tangan kanan
saya, dipegangnya erat – erat dan dibawanya kemulutnya seraya diciumnya, lama sekali;
dari matanya titik airmata yang panas.
"Hamid" –katanya, rupanya
kekuatan kembali sedikit; "Ibu hendak berbicara dengan engkau, penting
sekali, nak!"
"Lebih baik ibu diamkan dahulu,
agaknya ibu terlalu payah."
"Tidak, Mid, kekuatan ibu dikembalikan
Tuhan untuk menyampaikan bicara ini kepadamu."
"Apakah yang ibu maksudkan?"
"Sebagai seorang yang telah lama
hidup, ibu telah mengetahui suatu rahsia pada dirimu."
"Rahsia apa ibu?"
"Engkau cinta kepada Zainab!"
"Ah, tidak ibu, itu barang yang amat
mustahil dan itulah yang sangat anakanda takuti. Anakanda tak cinta padanya dan
takut akan cinta, anakanda belum kenal ‘cinta’. Anakanda tahu bahawa jika
anakanda menyerahkan cinta kepadanya, takkan ubahnya seperti seorang yang
mencurahkan semangkuk air tawar ke dalam lautan yang amat luas; laut tak akan
berubah sifatnya kerana semangkuk air itu."
"Wahai anakku, dari susunan katamu itu
telah dapat ibu membuktikan bahawa engkau sedang diserang penyakit cinta, takut
akan kena cinta, itulah dia sifat daripada cinta; cinta itulah yang telah
merupakan dirinya menjadi suatu perbuatan, cinta itu kerapkali berupa putus
harapan, takut, cemburu, hiba hati terkadang – kadang berani. Di hadapan ibumu
yang telah lama merasai pahit dan manis kehidupan tidaklah dapat engkau sembunyikan
lagi. Mataku telah kabur, tetapi hatiku masih terang – benderang."
"Anakku,… sekarang cintamu masih
bersifat angan – angan, cinta itu kadang – kadang hanya menurutkan perintah
hati, bukan menurut pendapat otak. Dari belum berbahaya sebelum ia mendalam,
kerapkali kalau yang kena cinta tak pandai ia merosakkan kemahuan dan kekerasan
hati lelaki. Kalau engkau perturutkan tetap engkau menjadi seorang anak yang
berputus asa, apa lagi kalau cinta itu tertolak, terpaksa ditolak oleh keadaan
yang ada di sekelilingnya,…
"Hapuskanlah perasaan itu dari hatimu,
jangan timbul – timbulkan juga. Engkau tentu memikirkan juga, bahawa emas tak
setara dengan loyang, sutera tak sebangsa dengan benang."
"Ayahnya, orang yang telah memenuhi
cita – cita kita dengan nikmat, sekarang tak ada lagi, ertinya telah putus tali
yang memperhubungkan kita dengan rumahtangga orang di sana. Meski pun ibu
Zainab seorang yang penuh dengan budi pekerti. Tentu saja kebaikannya kepada
kita tidak lagi sebagai suaminya hidup. Apa lagi famili – famili mereka yang
bertali darah sudah banyak yang akan turut mengatur keadaan pergaulan
rumahtangga itu, iaitu orang – orang baru yang tidak kenal akan kita."
"Memang anak,… cinta itu ‘Adil’
sifatnya, Allah telah mentakdirkan dia dalam keadilan, tidak memperbeza – bezakan
antara raja dengan orang meminta – minta, tiada menyisihkan orang kaya dengan
orang miskin, orang mulia dengan orang hina, bahkan kadang – kadang tidak juga
berbeza baginya antara bangsa dengan bangsa, tetapi aturan pergaulan hidup, tiada
membiarkan yang demikian itu berlaku, orang sebagai kita ini telah dicap dengan
darjat ‘Bawah’ atau ‘Kebanyakkan’ sedang mereka diberi nama ‘cabang atas’;
cabang atas ada kalanya kerana pangkat dan ada kalanya kerana harta benda.
Cincin emas orang sayang hendak memberi bermatakan kaca, tentu dicarikan orang,
biar lama, permata intan berlian, atau zamrud dan nilam yang telah diasah oleh
orang rantai perintang – perintang hatinya, kerana lama menanggung dalam
penjara."
"Meski pun Zainab suka kepada engkau….
Kerana agaknya batinnya suci daripada perasaan takbur dan mengangkat dirinya,
tidaklah langsung kalau ibunya tak suka. Diletakkan ibunya suka, bermuafakat
orang itu dahulu dengan kaum kerabat, handai dan taulan. Kalau mereka tak
sepakat, waktu itulah kelak kau diserang oleh putus asa, oleh malu, dan kadang
– kadang memberi melarat kepada jiwamu. Sebab api masih belum besar tidak
engkau padami lebih dahulu."
"Tidak ada yang lebih baik untuk
melupakan hal itu sebelum ia mendalam, sebab cinta kepada orang yang demikian,
adalah cinta arwah ayahmu hendak kembali ke dunia, kerana ia berbesar hati
melihat engkau telah besar. Ia tahu dan melihat segala apa yang kejadian dalam
dunia ini, dan
ia ingin sekali hendak datang. Tetapi sayang,… Alam dunia telah terbatas jauh sekali dengan alam barzakh,…"
ia ingin sekali hendak datang. Tetapi sayang,… Alam dunia telah terbatas jauh sekali dengan alam barzakh,…"
Lama saya termenung mendengarkan
perbicaraan ibu itu, pertama kerana amat dalam penyelidikannya kepada faham
hidup ini, kedua memikirkan kekuatan jiwanya yang timbul, seakan-akan malaikat
yang memimpin dia sedang berbicara, yang tidak saya sangka – sangka akan sejelas
itu. Beberapa saat antaranya saya pun menjawab:
"Terima kasih, ibu, nasihat ibu masuk benar
kedalam hatiku, semuanya benar belaka, sebenarnya sudah lama pula anakanda
merasa yang demikian, sehingga dengan hati sendiri anakanda berjanji hendak
melupakannya, yang amat ajaib ialah peperangan otak dengan hati. Tetapi bila
kelihatan rumahtangga, atau kelihatan rupanya sendiri, dan kadang – kadang bila
namanya disebut orang hati ini lupa akan perintah otak, ia kembali berdebar, ia
surut kepada kenang – kenangannya yang lama. Inilah yang kerapkali mengalahkan
anakanda."
"Ah, anakku, pandai benar engkau
mewartakan nasibmu kepada ibumu! Mengapa engkau segila itu benar, pada hal
agaknya engkau belum mengetahui bagaimana pula perasaan Zainab kepada dirimu?"
"Wahai ibu, Cuma anakanda tahu bahawa
cintaku mendapat sambutan dengan semestinya, agaknya tidaklah separah ini benar
luka hatiku, kerana cinta yang dibalas itulah ubat yang paling mujarab bagi
seorang anak muda dalam hidupnya, tak akan lebih pintanya daripada itu, hati
anak muda akan besar dan merasa beruntung, jika anakanda ketahui bahawa airmata
anakanda yang selama ini telah banyak tercurah tidak bagai air yang tenggelam
di pasir; bahawa pengharapan dalam menuju hidup tak terhambat ditengah jalan;
bahawa cita – cita hendak memandangi langit tidak di halangi oleh awan.
Cinta
anakanda kepadanya bukan mencintai tubuhnya dan bentuk badannya, tetapi jiwa
anakandalah yang mencintai jiwanya, kecintaan anakanda bukan dipeterikan oleh
kebiasaan bergaul dan bukan pula kerana kepandaian menyusun surat – surat kiriman.
Kebebasan pergaulan bisa ditutupi dengan perangai yang dibuat – buat dan
kepintaran mengarang surat dapat pula menyembunyikan kepalsuan hati. Anakanda
menyintai Zainab kerana budinya; di dalam matanya ada terkandung suatu lukisan
hati yang suci dan bersih."
"Anakku, sudah tinggi fikiranmu
rupanya, sudah dapat engkau menerangkan perasaan hati dengan perkataan yang
cukup, sudah menurun pada dirimu kelebihan ayahmu. Ibu tak dapat menyambung
perkataan lagi,… perkataanmu hanya ibu sambut dengan airmata. Hanya kepada Tuhan
ibu berharap, mudah – mudahan Dia memberikan anugerah dan perlindungan akan
dirimu. Dia yang telah menanamkan perasaan itu ke dalam hatimu, Dia pula yang
berkuasa mencabutnya. Mudah – mudahan itu hanya suatu khayal, suatu angan – angan
yang kerapkali mempengaruhi hati anak muda, yang dapat hilang kerana pergantian
siang dan pertukaran malam."
“Mudah – mudahan,” jawab saya.
Demikianlah nasihat kepada saya, setelah
itu kekuatannya tak ada lagi. Dari saat ke saat, hanya kelihatan kepayahannya
menyelesaikan nafas yang turun naik. Kadang – kadang dilihatnya saya tenang – tenang
dan dingangakan mulutnya sedikit minta minum. Ubat – ubatnya tak memberi faedah
lagi. Tidak beberapa malam setelah dia memberi nasihat itu, datanglah masa yang
ditunggu – tunggunya, masa berpindah daripada alam yang sempit kepada alam yang
lapang. Sementara saya asyik meminumkan ubat, di tangan kanan saya terpegang
sudu dan di tangan kiri terpegang gelas. Ia melihat kepada saya dengan tenang,
alamat berpisah yang akhir. Dari mulutnya keluar kalimah suci, bersamaan dengan
kepergian nyawanya ke dalam alam yang baqa', yang di sana tempat manusia lepas
daripada segala penyakit.
Saya tercengang dan seakan – akan bingung,
di tangan kanan saya sudu masih terpegang, di tangan kiri saya berisi ubat;
saya lihat ke atas meja, di sana terletak beberapa botol yang telah kosong dan
ramuan dukun yang telah layu, limau manis yang dihantarkan oleh Zainab pagi
hari itu baru diusiknya seulas, lebihnya masih tinggal terletak di atas meja.
Waktu itulah baru saya insaf bahawa itu bukan perkara sudu, gelas, bukan
perkara ubat ramuan, tetapi perkara ajal sematamata,…
Sekarang saya sudah tinggal sebatang kara
di dunia ini!
Bersambung,...
"cinta itu kadang – kadang hanya menurutkan perintah hati, bukan menurut pendapat otak."
No comments:
Post a Comment