November 01, 2015

MEKKAH PADA TAHUN 1927

Harga getah di Jambi, di seluruh tanahair sedang naik, negeri Mekah baharu sahaja pindah dari tangan Shariff Hussin ke tangan Ibn Sa'ud, Raja Hijaz dan Najad dan daerah takluknya yang kemudian ditukarkan namanya menjadi kerajaan "Arabiah Sa'udiah". Setahun sebelum itu telah naik haji dua orang yang kenamaan dari negeri kita. Keamanan negeri Hijaz, telah tersiar. Kerana itu banyak orang yang berniat menyempurnakan Islam yang kelima itu. Tiap – tiap kapal haji yang berangkat menuju Jeddah penuh sesak memebawa jemaah haji.

Konon khabarnya, belumlah pernah orang naik haji seramai tahun 1927 itu, baik sebelum atau pun sesudahnya.

Ketika itulah saya naik haji. Dari pelabuhan Belawan saya telah belayar menuju ke Jeddah menumpang kapal "Karimata". Empat belas hari lamanya saya terkatung – katung di dalam lautan besar. Pada hari kelima belas sampailah saya dipelabuhan Jeddah, pantai Laut Merah itu. Dua hari kemudian saya pun sampai ke Mekah tanah suci kaum Muslimin sedunia.
Betapa besar hati saya ketika melihat ka'bah tidaklah dapat saya perikan, kerana dari kecilku sebagai kebiasaan tiap – tiap orang Islam, Ka'bah dan menara Masjidil Haram yang tujuh itu menjadi kenang – kenanganku.

Saya injak tanah suci itu dengan persangkaan yang baik, saya hadapi tiap – tiap orang yang mengerjakan ibadat dengan penuh kepercayaan, bahwa mereka pun berasa gembira iaitu sebagaimana yang saya rasai itu saya tidak akan bertemu dengan kejadian – kejadian yang ganjil atau hikayat yang sedih daripada penghidupan manusia. Sebab sangka saya tentu sahaja selain daripada diri saya sendiri, orang – orang yang datang kesana itu adalah orang – orang yang gembira dan yang mampu banyak tertawanya daripada tangisannya. Tetapi rupanya, di mana – mana jua di atas dunia ini; asalkan sahaja ditempati manusia, kita akan bertemu dengan yang tinggi dan yang rendah, kesukaan dan kedukaan, tertawa dan ratapan tangis.

Saya telah mendengar di antara azan (bang) yang sayup – sayup sampai di puncak menara yang tujuh, di antara gemuruh doa manusia sedang berkeliling (tawaf) di sekeliling Ka'bah, di antara takbir umat yang sedang pergi balik di antara Safa dan Marwah, saya telah mendengar ratap dan rintih seorang makhluk tuhan, sayup – sayup sampai antara ada dengan tiada hilang – hilang timbul di dalam gemuruh yang hebat itu.

Sebagai kebiasaan jemaah yang datang dari Tanah Jawa, saya menumpang di rumah seorang syeikh yang pekerjaan dan pencariannya semata – mata daripada memberi tumpangan bagi orang – orang haji, di hadapan bilik yang telah ditentukan oleh seorang syeikh untuk saya, ada pula sebuah bilik kecil yang muat dua orang. Disana tinggal seorang belia yang yang baharu berusia 32 tahun, badannya kurus lampai, rambutnya hitam berminyak, sifatnya pendiam, suka bermenung seorang diri di dalam biliknya itu. Biasanya sebelum kedengaran azan subuh ia lebih dahulu bangun pergi ke masjid seorang diri. Menurut keterangan syeikh kami belia itu berasal dari Sumatera, datang pada tahun yang lalu, jadi ia adalah seorang yang telah bermukim di Mekah.

Melihat kebiasaannya demikian dan sifatnya yang soleh itu, saya menaruh hormat yang besar atas dirinya dan saya ingin hendak berkenalan. Maka dalam dua hari sahaja berhasillah maksud saya itu; saya telah beroleh seorang sahabat yang mulia patut dicontohi. Hidupnya sangat sederhana, tiada lalai daripada beribadat, tiada suka membuang – buang waktu kepada yang tidak berfaedah, lagi pula sangat suka memerhatikan buku – buku agama, terutama kitab – kitab yang menerangkan kehidupan orang – orang yang suci, ahli – ahli tasauf yang tinggi.

Bila saya terlanjur mempercakapkan dunia dan hal ehwalnya, dengan sangat halus dan tiada terasa percakapan itu dibelokkannya kepada ke halusan budi – pekerti dan ketinggian kesopanan agama, sehingga akhirnya saya terpaksa tunduk dan memandangnya lebih mulia daripada biasa.

Baru dua bulan sahaja semenjak dari awal Ramadhan sampai Syawal, pergaulan saya dengannya, saya telah banyak tertarik olehnya di dalam menuju kesucian, terutama di dalam negeri yang semata – mata untuk beribadat itu. Tetapi pergaulan yang baik itu tiba – tiba telah terusik sebab dengan kapal yang paling akhir telah tiba seorang teman baru dari Padang. Entah kerana kebetulan sahaja atau atau disengaja lebih dahulu, ia telah menjadi jemaah sheikh kami pula. Sahabat saya yang baru tiba ini sangat terkejut melihat bahawa sahabat saya ada di Mekah. Rupanya tidak disangka – sangkanya mereka akan berjumpa disana dan sahabat saya pun rupanya tidak menyangka akan berjumpa dengan sahabat baru itu.

Nama sahabat saya ialah hamid dan nama saudara baru itu Salleh.
Salleh menurut keterangannya, hanya dua atau tiga hari sahaja sebelum naik haji akan tinggal di Mekah, ia akan pergi ke Madinah lebih dahulu; dua tiga hari pula sebelum jemaah haji ke Arafah ia akan balik ke Mekah. Setelah selesai mengerjakan haji, ia akan meneruskan perjalanannya ke Mesir, menyambung pelajarannya.

Setelah musta'id maka Salleh pun berangkat ke Madinah. Ketibaan sahabat baru itu mengubah keadaan – keadaan dan sifat – sifat Hamid, entah khabar apakah yang agaknya yang baru di bawa darinya dari kampung yang mengganggu kesejahteraan fikiran Hamid. Ia bertambah tekun membaca kita – kitab terutamanya tasauf karangan Imam Al – Ghazali. Terkadang – kadang kelihatan ia termenung seorang diri di atas satah (atap rumah yang mendatar sepeti rumah – rumah di negeri Arab) rumah tempatnya tinggal melihat tenang – tenang kepada qal'ah (bintang – bintang) tua di atas puncak Jabal Hindi. Saya seakan – akan tidak pedulikannya lagi. Sedang saya mengerjakan tawaf keliling ka'bah maka terlihat oleh saya ia bergantung kepada kaswah (kain tabir yang melingkungi Ka'bah) menengadahkan mukanya kelangit, airmatanya menitik dengan derasnya membasahi serban yang membalut dadanya, kedengaran pula ia berdoa:

“Ya Allah! Kuatkanlah hati hambamu ini!"

Sebenarnya saya ini pun seorang yang lemah hati, kesedihan itu telah pindah kedada saya, meski pun saya tak tahu apa yang disedihkannya. Khabar apakah yang agaknya yang telah dibawa oleh Salleh dari kampung? Apakah sebab Hamid bersedih hati demikian rupa? Dunia yang manakah yang telah memutuskan harapannya?
Tipu daya siapakah yang telah melukai hatinya, hingga ia menjadi demikian rupa itu? Itu sentiasa menjadi soal kepada saya.

Pada suatu malam, sedang ia duduk seorang dirinya di atas satah, pada sebuah bangku yang bertikar daun kurma berjalin memandang kepada bintang – bintang yang memancarkan cahayanya yang indah di halaman langit, saya beranikan hati saya dan saya dekati dia. Maksud saya kalau dapat hendak membahagi kedukaan itu atau merentang – rentang barang sedikit kedukaan hatinya.

"Saudara Hamid!" –kata saya.

"Oh saudara, duduklah kemari!" –katanya pula sambil memperbaiki duduknya dan mempersilakan saya.

Setelah sama – sama duduk, ia pun menanyakan keramaian orang haji dan kami pun memperkatakan keadaan pada tahun ini. Tiap – tiap perkataan terhadap kepada tanahair, pembicaraan diputarnya kepada yang lain, serupa ia tak suka. Maka akhirnya hati saya tiada tahan lagi, saya pun berkata:

"Sudah lama saya perhatikan hal ehwal kamu, saudara, rupanya engkau dalam dukacita yang amat sangat. Agaknya engkau kurang percaya kepada saya, sehingga engkau tak mahu menyatakan kedukaan itu dengan saya. Sebagai seorang kawan, yang wajib berat sama memikul dan ringan sama menjinjing apa lagi jauh dari tanahair, sewajibnyalah saya engkau beritahu, apakah yang menyusahkan hati engkau sekarang, sehingga banyak perubahanmu daripada yang biasa?"

Ia memandang kepada saya dengan tenang.

"Katakanlah kepada saya, wahai sahabat!" –ujar saya pula.

"Saya akan menolong engkau sekadar tenaga yang ada pada saya.Kerana meski pun kita belum lama bergaul, saya telah tahu bahawa engkau adalah seorang yang budiman, saya tidak akan mensiakan kepercayaan engkau kepada diri saya."

"Ini satu rahsia tuan!" –katanya.

"Saya akan pikul rahsia itu jika engkau percayakan kepada saya dan saya akan masukkan ke dalam perbendaharaan hati saya dan kemudian saya kunci pintunya erat – erat. Kunci itu akan saya lemparkan jauh – jauh sehingga seorang pun tak dapat mengambilnya kedalam lagi.

Mendengar perkataan saya itu mukanya kembali tenang dan ia pun berkata:

"Jika telah demikian tuan berjanji, tentu tuan tidak akan mensiakan janji itu dan saya telah percaya penuh kepada tuan, kerana kebaikan budi tuan dalam pergaulan kita selama ini. Saya akan menerangkan kepada tuan sebab – sebab saya bersedih hati dan akan saya paparkan satu – persatu, sebagaimana berkata – kata dengan hati saya sendiri. Memang, saya harap tuan simpan citra diri saya selama saya hidup, tetapi jika saya lebih dahulu meninggal daripada tuan, sapa tahu ajal di dalam tangan Allah S.W.T,. Saya izinkan tuan menyusun hikayat ini baik – baik, mudah – mudahan ada orang yang akan suka meratap memikirkan kemelaratan nasib saya, meskipun mereka tak tahu siapa saya. Mogamoga air matanya akan menjadi hujan yang dingin dan memberi rahmat kepada saya ditanah perkuburan."

Air mata saya terpercik mendengarkan perkataan itu.


Ia bermenung kira – kira dua atau tiga minit; di antara gemuruh suara manusia yang hampir sunyi di dalam Masjidil Haram itu, di antara doa – doa beribu – ribu makhluk yang sedang berangkat ke hadrat Tuhan sahabatku itu mengumpulkan ingatannya. Awan gelap yang menutup keningnya hilanglah dari sedikit ke sedikit; setelah itu ia menarik nafas panjang, seakan – akan mengumpulkan ingatan yang bercerai – cerai dan ia pun memulai perkataannya.

1 comment: