Enam bulan kemudian.
Berhampiran dengan rumah kami ada sebuah
gedung besar berpekarangan yang cukup luas; dalam perkarangan itu ada juga
ditanam buah – buahan yang lazat seperti sauh dan rambutan. Rumah itu lama
tinggal kosong, kerana tuannya seorang Belanda telah balik ke Eropah dengan
mendapat pencen. Yang menjaga rumah itu selama ini adalah seorang jongos tua. Khabarnya
konon rumah itu akan dijual, sebab tuan itu tidak balik lagi ke negeri ini.
Selama itu kerap kali kami datang ke situ meminta buah rambutan dan sauh kepada
Pak Leman. Demikian juga nama jongos tua itu.
Tiba – tiba rumah itu diperbaiki, kerana
telah dibeli oleh seorang saudagar tua yang hendak berhenti dari berniaga. Ia
akan hidup pada hari tua dengan senang, sebagai berehat daripada pekerjaannya
yang berat pada masa ia muda memakan hasil daripada rumah-rumah sewa yang banyak
di Padang dan di Bukit Tinggi, demikian juga sawah – sawahnya yang luas di sebelah
Paya Kumbuh dan Lintau.
Setelah rumah itu selesai diperbaiki,
pindahlah orang hartawan itu ke sana bersama dengan isteri dan seorang anak
perempuannya. Di hadapan rumah itu di atas batu marmar yang licin ada tertulis
perkataan; Haji Jaafar.
Tiap – tiap pagi saya lalu di hadapan rumah
itu menjunjung nyiru berisi goring pisang, mata saya sentiasa memandang ke
jendela – jendelanya yang berlangsir kain sutera kuning, hendak melihat keindahan
perhiasan rumahnya. Fikiran saya menjalar, memikirkan kesenangan hati orang
yang tinggal dalam rumah itu, cukup apa yang dimakannya dan diminumnya; air liur
saya meleleh bila saya ingat, bahawa kami di rumah kadang – kadang makan,
kadang – kadang tidak. Setelah saya meninggalkan halaman rumah itu, maka dengan
suara yang merawankan hati saya panggilkan jualan saya;
"Beli goreng pisang! Masih
panas!"
Lama kelamaan tertariklah perempuan yang
setengah tua itu hendak memanggil jualan saya, demikian juga anaknya. Pernah
kedengaran oleh saya ia berkata:
"Panggillah Nab kesian juga saya!"
Perempuan itu suka memakan sirih, mukanya
jernih, peramah dan penyayang. Pak Leman yang telah menjadi jongos untuk
memelihara perkarangan itu, belum pernah dapat suara keras daripadanya. Anak
perempuannya itu masih kecil, sama dengan saya. Apa perintah ibunya diikuti dengan
patuh, rupanya ia amat disayangi kerana anaknya hanya seorang itu.
Sudah dua tiga kali saya datang ke rumah
indah dan bagus itu; setiap kali saya datang bertambah sukanya melihat kelakuan
saya dan belas kasihan akan nasib saya. Pada suatu hari perempuan itu bertanya
kepada saya;
"Di mana engkau tinggal anak, dan
siapa ayah bondamu?"
"Saya tinggal dekat sahaja di sini
mak" –jawab saya. "Itu rumah tempat kami tinggal, di seberang jalan.
Ayah saya telah mati dan saya tinggal dengan ibu saya. Beliaulah yang membuat
kuih – kuih ini; pagi-pagi saya berjual goreng pisang dan kalau petang biasanya
menjual rakit udang (jengket udang) atau godok perut ayam."
"Berapakah keuntungan sehari?"
tanyanya pula.
"Tidak tentu, mak. Kadang – kadang kalau
untung baik dapat setali (25 sen), Kadang – kadang kalau kurang dari itu,
sekadar cukup untuk kami makan setiap hari…."
"Kasihan…." –katanya sambil
menarik nafas.
Setelah itu ia berkata pula: " Bawalah
ibumu nanti petang kemari, katakana mak yang baru pindah ke rumah ini hendak
berkenalan dengan ibu."
"Saya mak, ibu saya kurang benar
keluar dari rumah."
"Suruh lah sahaja kemari, katakan mak
perlu hendak bertemu."
"Baiklah kalau begitu , mak" –jawab
saya.
Setelah itu saya pun pulang, sampai di
rumah saya katakanlah kepada ibu perkataan orang di gedung besar itu. Mula – mula
ibu seakan – akan hendak bertempik, dia agak marah kepada saya, kalau – kalau saya
telah berlangsung mulut menerangkan untung nasib diri kepada orang lain. Tetapi
setelah mendengar keterangan saya, hatinya pun senang. Pada petangnya takut – takut
cemas pergilah dia ke rumah besar itu.
Meskipun ibu saya merasa malu – malu dan
insaf akan kerendahan darjatnya, Mak Asiah, demikian nama isteri Engku Haji
Jafar itu, sekali – kali tiada meninggikan diri, sebagai kebiasaan perempuan – perempuan
isteri orang hartawan atau orang berpangkat yang lain. Bahkan ibuku dipandangnya
sebagai saudaranya, segala nasib dirinya dan penanggungan ibu didengarnya dengan
tenang dan muka yang rawan, kadang – kadang ia pun turut menangis waktu ibu menceritakan
hal yang sedih – sedih. Sehingga waktu cerita itu habis, terjadilah di antara
keduanya persahabatan yang kental, harga menghargai dan cinta menyintai.
Semenjak itu saya sentiasa datang ke rumah
itu. Saya sudah beroleh seorang adik yang tidak berapa tahun kecilnya daripada
saya, yaitu anak perempuan di gedung besar itu, Zainab namanya. Peribahasa yang
halus dari Mak Asiah, adalah didikan juga daripada suaminya, seorang hartawan yang
amat peramah kepada fakir dan miskin. Konon khabarnya, kekayaan yang di
dapatnya itu adalah daripada usahanya sendiri dan titik peluhnya, bukan waris
daripada orang tuanya. Dahulunya dia seorang yang melarat juga, tetapi berkat
yakinnya, terbukalah baginya pintu pencarian. Sungguhpun ia telah kaya raya,
sekali – kali tidaklah ia lupa kepada keadaannya tempoh dahulu, ia sangat insaf
melihat orang – orang yang melarat, lekas memberi pertolongan kepada orang yang
berhajat.
Pada suatu pagi saya datang mendapatkan ibu
saya dengan perasaan yang sangat gembira, membawa khabar suka yang sangat
membesarkan hatinya, iaitu esok Zainab akan dihantarkan ke sekolah dan saya
akan dibawa sama. Saya akan disekolahkan dengan belanja Haji Engku Jaafar sendiri
bersama-sama anaknya.
Mendengar perkataan itu bercucuran airmata
ibuku kerana sukacitanya, kejadian selama ini yang sangat diharap-harapnya.
Esok paginya, saya saya tidak menjunjung
nyiru tempat kuih lagi, tetapi telah pergi ke sekolah menjunjung batu tulis.
Agaknya dua macam faedah yang akan diambil oleh Engku Haji Jaafar menyerahkan
saya, pertama untuk menolong saya, kedua untuk jadi teman anaknya. Saya pun insaf,
lebih – lebih setelah beberapa nasihat daripada ibuku. Zainab telah saya
pandang sebagai adik kandung, saya jaga daripada gangguan murid – murid yang
lain. Lepas dari sekolah kerapkali saya datang dengan ibu ke rumah besar itu,
kalau – kalau ada yang patut kami Bantu dan kami tolong, kerana kami telah
dipandang sebagai anggota rumah yang besar itu.
Umur saya lebih tua daripada Zainab dua
tahun. Meskipun saya hanya anak yang beroleh pertolongan daripada ayahnya,
sekali – kali tidaklah Zainab menganggap saya sebagai orang lain lagi, tidak
pula ia pernah mengangkat diri, agaknya kerana kebaikan didikan ayah – bondanya.
Cuma di sekolah, anak – anak orang kaya kerapkali menggelakkan saya anak yang
berjual goring pisang telah bersekolah bersama – sama dengan anak orang
hartawan.
Dua perkataan yang manis, yang timbul daripada
hati yang suci, telah merapatkan kami, perkataan itu ialah abang dan adik. Sampai
sekarang, saya masih teringat nikmat kehidupan dalam dunia anak – anak yang
kerapkali diratapi oleh ahli – ahli sya`ir, yang hanya datang sekali ke alam
manusia selama hidupnya. Waktu itu bila pulang dari sekolah, saya dan Zainab
bersama teman – teman kami yang lain berlari – lari, berkejar – kejaran dan
bermain galah dalam perkarangan rumahnya, memanjat pohon rambutan yang sedang
ranum, kekadang bercari – carian dan bersorak – sorak. Waktu itu ibuku dan
ibunya sedang duduk di beranda belakang; ibuku sentiasa merendahkan diri,
melihat kami yang rasa sukacita. Kadang – kadang waktu petang kami duduk di
beranda muka, membelek buku gambar, bertengkar dan berkelahi, kemudian damai
pula.
Hari Minggu kami diizinkan pergi ke tepi
laut. Ke muara atau ke tepi Batang Arau, melihat perahu pengail yang sedang di
lambung – lambungkan gelombang di tengah lautan yang luas, kain layarnya
dipuput oleh angin yang menghantarkannya ke tengah, akan mencari rezekinya.
Negeri Pariaman hijau nampaknya dari jauh, ombak memecah dan menderum tiada
berhenti memukul pasir tepi itu. Di sana kami berlari – larian mengejar ambai –
ambai yang segak dan lekas lari ke sarangnya. Kadang-kadang kami buat unggunan
pasir sebagai rumah-rumah atau masjid-masjid, tiba-tiba datang ombak yang agak
besar, di hapuskannya unggunan yang kami dirikan itu; anakanak perempuan lari
ke tepi menyinsingkan tepi bajunya, takut tersiram air laut.
Waktu orang berlimau, sehari akan puasa,
kami dibawa ke atas puncak Gunung Padang, kerana di sanalah ayahku berkubur,
dan beberapa famili ibu Zainab. Saya disuruh membawa air wangi dalam botol.
Zainab mambawa bunga – bungaan dan ibuku serta ibunya mengiringi dari belakang.
Semuanya masih tergambar dalam fikiran saya
hari ini, masih saya ingat bahawa persaudaraan kami suci dan ikhlas adanya,
dari tahun berganti tahun, sampai kami tamat dari sekolah
pertengahan.
pertengahan.
Amat besar budi Engku Haji Jaafar kepada
saya, banyak kepandaian yang telah saya peroleh kerana kebaikan budinya itu.
Dari sekolah rendah (H.I.S) saya sama – sama naik dengan anaknya menduduki
Mulo. Tetapi setelah tamat dari sana, sekolah kami tak akan disambung lagi,
kerana sebenarnya didikan ibuku amak melekat kepada diri saya, iaitu condong
kepada mempelajari agama. Zainab pun hingga itu pelajarannya, kerana dalam adat
orang hartawan dan bangsawan di Padang, kemajuan anak perempuan itu hanya
terbatas hingga Mulo, belum berani mereka melebihi dari kebiasaan umum,
melepaskan anak perempuannya belajar jauh – jauh. Setelat tamat dari mulo,
menurut adat, Zainab masuk dalam pingitan, ia tidak akan dapat keluar lagi
kalau tidak ada satu keperluan yang sangat penting, ini pun harus ditemani oleh
ibu atau orang kepercayaannya, sampai datang masanya bersuami kelak.
Dan saya, bila sekolah itu tamat, akan berangkat ke Padang Panjang, sebab Engku Haji Jaafar masih sanggup membelanjai saya, apa lagi demikianlah cita – cita ibuku.
No comments:
Post a Comment