Saat yang ditakutkan itu pun telah datang; dengan
hati riang, bercampur masyghul, saya terpaksa meninggalkan bangku sekolah.
Riang, kerana saya telah beroleh diploma dan masyghul kerana berpisah dengan
bangku sekolah dan dengan teman – teman. Ertinya masa gembira, masa menghadapi
zaman yang akan datang dengan penuh kepercayaan, telah habis.
Setelah guru membahagikan diploma kami
masing – masing dengan bersorak – sorak kami meninggalkan perkarangan sekolah,
kami bersalam – salaman satu dengan yang lain dan guru memberi kami peringatan,
supaya sekolah kami diteruskan bagi siapa yang sanggup.
Anak – anak Belanda dan beberapa anak
saudagar – saudagar yang mampu, dengan megah menyatakan di hadapan teman – temannya,
bahawa sekolah itu akan diteruskannya; setelah habis cuti tahunan, mereka akan
berangkat ke tanah Jawa mengambung pelajarannya. Saya sendiri, tidaklah saya
khabarkan bahawa saya akan menambah pelajaran agama, kerana selama ini teman – teman
mengejekkan saya, mengatakan saya gila agama.
Yang berasa sedih sangat, adalah anak – anak
perempuan yang masuk pingitan (Terkurung di rumah saja) tamat sekolah bagi
mereka ertinya suatu sangkar yang telah sedia buat seekor burung yang bebas
terbang.
Zainab sendiri, semenjak tamat sekolah, ia
pun telah tetap dalam rumah, didatangkan baginya guru dari luar yang akan
mengajar berbagai – bagai kepandaian yang perlu bagi anak – anak perempuan,
seperti menyulam, merenda, memasak dan lain-lainnya. Petang hari ia menyambung pelajarannya
dalam perkara agama.
Saya, tidak beberapa bulan setelah tamat
sekolah, berangkat ke Padang Panjang, melanjutkan cita – cita ibu saya dan
kerana kemurahan Engku Haji Jaafar juga. Sekolah – sekolah agama yang ada di
situ mudah sekali saya masuki, kerana lebih dahulu saya telah mempelajari ilmu
umum; saya hanya tinggal memperdalam pengertian dalam perkara agama saja,
sehingga akhirnya salah seorang guru memberi fikiran, menyuruh saya mempelajari
agama di luar sekolah saja, sebab kepandaian saya lebih tinggi dalam hal ilmu
umum daripada kawan – kawan yang lain.
Demikian lah pelajaran itu telah saya
tuntut dengan bersungguh hati, tetapi,… Semenjak mula saya pindah ke Padang
Panjang, sentiasa saya merasa keseorangan. Kian lama saya tinggal dalam negeri
dingin itu, kian terasa oleh saya bahawa saya sebagai seorang yang terpencil.
Keindahan alam yang ada di sekeliling kota dingin itu menghidupkan kenang – kenangan
saya kepada hal – hal yang telah lalu. Gunung Merapi dengan kemuncak tandikat
waktu matahari akan terbenam dan mempertaruhkan jabatan memberi cahaya kepada
bulan, singlang yang sentiasa diliputi dengan kebun – kebun tebunya yang beriak
– riak ditiup angin, semuanya membangkitkan perasaanperasaan yang ganjil, yang
sangat mengganggu fikiran saya.
Saya berasa sebagai seorang yang
kehilangan, padahal jika saya periksa penaruhan saya, peti, meja tulis, kain
dan baju semuanya cukup. Tetapi badan saya ringan, seakan – akan suatu
kecukupan yang telah kurang.
kecukupan yang telah kurang.
Saya Cuma ingat, bahawa jika dengan teman –
teman sama sekolah saya pergi melihat keindahan air terjun di Batang Anai atau
mendaki Bukit Tuai, atau gua Batu Sungai Anduk, bila masa saya melihat
keindahan ciptaan alam itu, saya ingat alangkah senang hati Zainab jika ia
turut melihat pula. Kerana saya tahu betul bahawa ia seorang anak perempuan
yang dalam perasaannya; waktu sama – sama sekolah, ia sukar benar mendengarkan
nyanyian – nyanyian yang sedih, walaupun nyanyian Barat atau Timur. Bila mana
lalu dihadapan rumahnya seorang buta bersama – sama cucunya yang kecil,
kerapkali ia menitikkan airmata. Bagaimanakah perasaannya kelak jikalau dia ada
pula di tempat yang indah itu?
Sentiasa saya hitung pertukaran hari ke
bulan dan dari bulan ke tahun. Apabila cuti sekolah bagi bulan puasa telah
hampir, gembiralah hati saya kerana akan dapat saya mengadap ibu saya memaparkan
di hadapannya bahawa ia sudah patut gembira kerana anaknya ada harapan akan menjadi
orang alim dan dapat pula bersimpuh di hadapan Engku Haji Jaafar yang dermawan,
bahawa pertolongannya ada harapan akan berhasil, bersimpuh pula di hadapan Mak
Asiah kerana dengan pertolongannya saja saya telah menjadi orang baik. Kemudian
dari itu akan dapat pula bertemu dengan Zainab. Saya akan nyatakan di
hadapannya pengalaman yang telah saya dapat selama pergi menuntut ilmu, dan
saya hadiahkan kepadanya gambar dari "Panorama" keliling kota Padang
Panjang yang saya ambil gambarnya bersama – sama teman sejawat saya. Tentu akan
saya terangkan di hadapannya dengan gembira, dengan besar hati, sehingga ia
akan termanggu – manggu mendengar cerita saya, apa lagi ia amat sukar akan
dapat keluar dari lingkungan rumahnya.
Apabila sekolah saya tutup, segala segala
cita – cita yang telah saya reka selama belajar, dan telah saya susun di jalan
antara Padang Panjang dengan Padang semuanya dapat saya jalankan; ibu saya
menitik airmata kerana kegirangannya, Engku Haji Jaafar tersenyum mendengar
saya mengucapkan terima kasih. Mak Asiah memuji – muji saya sebagai seorang
anak yang berbudi, Cuma ketika berhadapan dengan Zainab dalam rumahnya, mulut
saya tertutup, saya menjadi seorang yang bodoh atau pengecut.
"Bila abang pulang?" Katanya.
"Pukul sepuluh pagi tadi." Jawab
saya.
"Apa khabar? Baik?"
"Alhamdulillah,………."
Setelah itu saya menjadi bingung, tidak
tentu lagi apa yang akan saya terangkan kepadanya. Segala rancangan saya
terhadap dirinya yang saya reka – rekakan tadi, semuanya hilang. Ia melihat tenang
– tenang kepada saya, seakan ada pembicaraan saya yang ditunggunya, tetapi kian
lama saya kian gugup, sehingga sudah lalu hampir lima belas minit, tidak ada
diantara kami yang bercakap.
"Mudah – mudahan kelak selamatlah, dan
kerapkali datang kemari kalau masih di rumah" –katanya pula; lalu ia
berdiri dari tempat duduknya, kembali ke pekarangan belakang, ke dalam
pingitan. Saya pun berdiri saya ambil songkok saya sambil menarik nafas panjang
saya pun keluar.
Dalam hati, saya teringat hendak menulis
surat kepadanya akan ganti diri saya menerangkan segala perasaan hati. Surat
itu akan saya tulis dengan tulus ikhlas, tidak bercampur dengan katakata yang
dapat menyinggung perasaan hati, baik perkara cinta atau perkara lain – lainnya,
apa lagi surat itu tidak akan diketahui oleh orang isinya jika ditulis dalam
bahasa Balanda. Tetapi ha,… saya tak sampai hati, sebab perbuatan itu hanya
sehingga daerah persaudaraan antara adik dan abang, tidaklah mengapa.
Tetapi adalah saya ini seorang yang lemah,
otak saya tak dapat mempengaruhi dan mengendalikan hati saya, sepandai – pandainya
mengatur dan menyusun kata, akhirnya tentu salah satu perkataan di dalam surat
itu terpaksa juga membawa erti lain, padahal dalam perkara yang halus – halus
anak perempuan amat dalam pemeriksaannya.
Cinta itu adalah "jiwa" antara
cinta yang sejati dengan jiwa tak dapat dipisahkan, cinta pun mereka
sebagaimana jiwa, ia tidak memperbezakan di antara darjat dan bangsa, di antara
kaya dan miskin, mulia dan papa demikianlah jiwa saya, diluar dari pada resam
basi, terlepas daripada kekang kerendahan saya dan kemuliaannya; saya
merasainya, bahawa Zainab adalah diri saya. Saya merasai ingat kepadanya adalah
kemestian hidup saya. Rindu kepadanya membukakan pintu angan – angan saya
menghadapi zaman yang akan datang.
Dahulu saya tidak pedulikan hal itu, tetapi
setelah saya besar dan berpisah daripadanya, barulah saya insaf, bahawa kalau
bukan di dekatnya, saya berasa kehilangan.
Mustahil ia akan dapat menerima cinta saya,
kerana dia langit dan saya bumi, bangsanya tinggi dan saya daripada kasih
sayang ayahnya. Bila saya tilik diri saya, tidak ada padanya tempat buat lekat
hati Zainab. Jika kelak datang waktunya orang tuanya bermenantu, mustahil pula
saya akan temasuk golongan orang yang terpilih untuk menjadi menantu Engku Haji
Jaafar, kerana tidak ada yang akan dapat diharapkan dari saya, tetapi tuan,… Kemustahilan
itulah yang kerapkali memupuk cinta.
Setelah puasa habis, saya kembali ke Padang
Panjang. Sebelum berangkat saya datang ke rumahnya menemuinya, menemui ayah dan
ibunya. Daripada ayahnya saya dapat nasihat;
"Belajarlah sungguh – sungguh, Hamid,
mudah – mudahan engkau lekas pintar dalam perkara agama dan dapat hendaknya
saya menolong engkau sampai tamat pelajaranmu,…"
"InsyaAllah Engku" –jawab saya.
Setelah itu saya berangkat; seketika saya
melengung yang penghabisan ke belakang; kelihatan oleh saya Zainab berdiri di
pintu tengah, melihat kepada saya. Di situ timbul pula kembali sifat saya yang
pengecut; saya mengadap ke muka dan saya pun pergi,…
Bersambung,...
"Cinta itu adalah 'jiwa' antara cinta yang sejati dengan jiwa tak dapat dipisahkan"
No comments:
Post a Comment